Dilarang memberi makanan kepada haiwan di sini...


Thursday, July 10, 2008

Sekitar hari pengebumian jenazah Pak lang









Sabtu 5 Julai 2008, Tanah Perkuburan Kg. Sg Tekali



Pak Lang telah pergi, dan takkan kembali.

Jumaat, 4 Julai, entahla kenapa saya terasa sangat letih, padahal hanya ada sekali wad round sahaja pada pkl 8. Apa saya buat rasa macam tak kena. Untuk isi masa, seperti biasa saya masak, tiada yang istimewanya. Mee hon digoreng. Rasanya agak kurang. Mungkin kerana kekurangan bahan yang ada.

Lepas maghrib saya tertidur, masih terasa penat. 12.48 malam, saya dikejutkan oleh deringan telefon. Tertera nombor ayah. Apa agaknya hal malam-malam ni?
Ayah meminta saya melihat Pak Lang di Jabatan Kecemasan di PPUKM, Pak Lang pengsan! Kata ayah, pak lang telah dibawa oleh kawan-kawannya ke PPUKM, mungkin Pak Teh dan Opah ada di sana. Saya solat Isya’ dan kemudian terus saya bergerak keluar menuju ke sana. Terlupa pula, sandal sudah putus dan haus. Saya pinjam sandal Ateq. Jam sudah hampir 1 pagi. Hmm, kenapa rasa berdebar-debar pula.

Di jabatan kecemasan, saya lihat Pakcik Mail (Y.B. Ismail Sani, ADUN Dusun Tua), Pakcik Epet (En. Zulkifli, Ketua Kampung Sg. Tekali) dan beberapa orang yang saya tidak camlah sangat, ada di perkarangan Jab. Kecemasan. Saya tinggalkan mereka untuk mencari Pak Teh dan opah, tapi tidak ketemuan. Kemudian dapat pula mesej daripada busu tentang perkara yang sama. Rupanya bila call busu, semuanya dalam perjalanan ke PPUKM, Mak Lang dan anak-anaknya telah ikut bersama tetapi dengan kereta yang berbeza.

Saya pergi ke depan menuju kawasan Pakcik Mail berada, sebab Pakcik Mail yang hantar Pak Lang ke hospital. Pakcik Epet memberitahu yang Pak Lang sesak nafas dan sakit dada setelah beberapa minit bermain futsal di Kg. Padang, Pangsun. Kemudian saya terus menuju ke kubikal kecemasan biasa, mungkin kes yang biasa je kot, saya mencari dari satu kubikal ke satu kubikal namun saya tidak jumpa Pak Lang. Saya lihat rombongan yang hantar Pak Lang ramai-ramai masuk ke triaj kritikal, saya bergegas ke sana.

Pelik kenapa ni, fikiran saya sudah menafsirkan perkara yang tidak enak. Ya Allah apa yang berlaku? Apabila sampai di kubikal tersebut, Pak Lang sudah dibalut dengan kain putih di seluruh badannya. Tambah memilukan apabila kain putih itu telah diikat dengan tali putih. Innalillah wa inna Ilaihi Raji’un, Pak Lang telah pergi dari dunia ini. Allah lebih menyayangi Pak Lang. Allah telah menjemput Pak Lang kembali. Terasa lemah badan ini. Hati berasa sayu. Saya keluar dari kubikal tanpa sebarang kata, tanpa suara, tangan hanya menyambut salaman semua yang beri ucapan takziah.

Tak tahulah bagaimana nak sampaikan berita ini pada keluarga terutama pada Mak Lang, Opah dan semua. Saya tak terdaya untuk menelefon sesiapa. Saya hanya bersandar di tiang, kaku. Apabila ayah telefon, saya hanya terdaya untuk meminta ayah cepat ke hospital, apabila nada ayah macam mendesak barulah saya memberitahu bahawa Pak Lang telah meninggal dunia. Ayah umpama tidak percaya. Nada suara ayah berubah.

Kemudian Pak Teh sampai bersama Opah dan Pak Su. Rupanya Pak Teh telah tahu, mungkin pakcik Mail yang inform. Opah duduk di seat belakang kelihatan diam saja. Membisu seribu bahasa. Dalam gelap, saya tak nampak sebarang reaksi Opah, saya buka pintu kereta saya terus peluk Opah, Opah menangis kuat dan memeluk saya erat. “ Takde lagi anak Opah, tinggal 5 je lagi anak Opah, tadi dia sihat je Opah tengok, kenapa macam ni! Kenapa macam ni!”, Opah menangis, saya tak terkata apa. Bayangkan je lah, Pak Ngah saya telah pergi meninggalkannya 16 tahun yang lalu menghadap Tuhan Yang Maha Esa, kemudian Pak Lang pula. Tu belum 2 orang pakcik saya yang meninggal dunia ketika kecil, memang Opah sangat sedih. Ibu mana yang tidak sedih jika 4 anaknya telah pergi meninggalkanya terlebih dahulu. Hanya Allah saja yang tahu perasaan Opah. Ya Allah berilah ketabahan pada Opah! …………………bersambung

P/S: Saya nukilkan catatan ini ketika badan terasa sungguh lesu, tidak berdaya. Walaupun keinginan menulis masih ada tetapi apakan daya, kesedihan, keletihan menunggu di perkarangan bilik mayat PPUKM selama 3 jam lebih untuk membawa jenazah Pak Lang pulang, tak masuk lagi karenah birokrasi Polis Bt. 18 ditambah pula beban kerja wad dan pelajaran yang menggunung setelah urusan pengebumian jenazah selesai esoknya membuatkan saya terpaksa menoktahkan untuk setakat ini.

InsyaAllah, jika Allah masih limpahkan kasih-sayangNya pada saya, masih membenarkan saya benafas lagi di duniaNya ini, saya akan kembali menulis.

Al- Fatihah buat Pak Lang, Haji Abdul Aziz bin Haji Mat Nor, yang meninggalkan dunia ini, kami keluarganya, hartanya, dan segala-galanya pada usianya 45 thn. semoga Allah tempatkan roh Almarhum di kalangan orang-orang yang soleh.

Soccernet's Top Story