Dilarang memberi makanan kepada haiwan di sini...


Tuesday, January 22, 2008

As-Syahid Dr. Abd Aziz Rantisi (Bhg 1)


"We will all die one day. Nothing will change. If by Apache or by cardiac arrest, I prefer Apache."

As-Syahid Dr. Abdul Aziz Rantisi pernah berkata, " Kita akan mati suatu hari nanti, tiada apa yang dapat mengubahnya. Jika maut disebabkan Apache(helikopter tempur buatan Amerika) atau serangan jantung, saya lebih rela memilih Apache.." Ini bukan sekadar ungkapan lisan semata-mata. Akhirnya, apa yg diungkap oleh As-Syahid Abd. Aziz Rantisi ini menjadi kisah realiti yang tragis, apabila keretanya dibedil oleh 7 peluru berpandu yang dilancarkan dari Helikopter Apache setelah selesai menunaikan solat maghrib di Al-Ghafri, Utara Ghaza. Peristiwa yang berlaku pada tanggal 17 April 2004 itu telah mengejutkan dunia Arab setelah kurang sebulan sebelumnya Sheikh Ahmad Yassin dibunuh setelah selesai menunaikan solat subuhnya. Israel menjangkakan taktik serangan bacul ini mampu melemahkan Pejuang-pejuang Hamas. Namun ia ternyata silap. Semangat perjuangan mereka marak menyala kesan pembunuhan kejam itu.Sudah cukup air mata darah dititiskan,sudah cukup lumuran darah saudara mara di badan, perjuangan akan tetap diteruskan....
Hasilnya dalam tempoh 3 tahun selepas itu, berlaku suatu revolusi politik yang menyaksikan HAMAS menyertai pilihanraya dan sekaligus memenanginya. Sejarah tercipta. Sebahagian penduduk Palestin menyandarkan kejayaan ini (selepas menyandarkannya pada Allah) kepada dua tokoh ini....
Sebagai tambahan lembaran kenangan As-Syahid Dr. Abd Aziz Al-Rantisi saya lampirkan sedikit latarbelakang As-Syahid.

Anak Pelarian

Rantisi dilahirkan pada 23 Oktober 1947 di Yibna sebuah bandar kecil yang terletak di antara Ashkellon dan Jaffa. Pada 1948 peperangan Israel-Arab meletus menyebabkan keluarganya terpaksa menjadi pelarian di bumi mereka sendiri bersama 200,000 orang yang lain. Semua ini berlaku ketika umurnya masih 6 bulan. Pada usia begini As-Syahid telah merasa jerih-payah hidup sebagai pelarian. Walaupun dia masih belum mengerti apa-apa, semua yang berlaku seumpama suatu tarbiah baginya. Tarbiah seorang pejuang!
As-Syahid tinggal dalam khemah pelarian selama 4 tahun bersama ayah dan ibunya beserta 8 adik-beradik lelaki dan 2 adik beradik perempuan. Mereka hidup dalam kemiskinan. Kemudian mereka sekeluarga berpindah di sebuah kawasan bangunan sekolah yang telah ditinggalkan. Mereka sekeluarga berpindah lagi, kali ini ke rumah yang didirikan daripada lumpur. Kedhaifan hidup membuatkan Rantisi membuat keputusan untuk bekerja seawal usianya 6 tahun.

Pakar Paediatrik

As-Syahid mendapat pendidikan di sebuah sekolah menengah di Khan Younis. Berkat kecemerlangannya, beliau ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir atas skim khas yang ditawarkan untuk pelajar-pelajar miskin di Gaza. Beliau diterima masuk ke Universiti Iskandariah, Mesir dan beliau telah memilih bidang perubatan. Sepertimana pelajar-pelajar perubatan yang lain pada ketika itu fokus utama beliau di Universiti adalah untuk lulus peperiksaan dan menjadi seorang doktor; situasi yang saya rasakan tidak jauh berbeza dengan pelajar perubatan sekarang. Tidak cenderung ke arah politik mahupun gerakan agama. Namun segalanya berubah apabila dia berjumpa dengan Syeikh Mahmoud Eid, seorang yang cukup dikenalinya kerana pernah menjadi Imam di Masjid Khan Younis ketika Rantisi masih kecil. Eid memperkenalkannya dengan gerakan Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh As-Syahid Imam Hassan al-Banna pada tahun 1929 (Imam Hassan al-Banna dibunuh 20 tahun kemudian dalam suatu operasi sulit tentera Mesir pimpinan Presiden Gammal Abdul Naseer, kalau tidak silap saya). Selain itu As-Syahid Dr. Abd Aziz Rantisi juga menjadikan tulisan As-Syahid Syed Qutub iaitu Petunjuk Sepanjang Jalan sebagai salah satu falsafah perjuangannya. Dr. Abd. Aziz Rantisi menyatakan bahawa terdapat 2 ungkapan hasil nukilan Syed Qutub yang telah mempengaruhi gaya pemikirannya iaitu:
1- Hanya Islam yang patut digunakan dalam semua cabang kehidupan kita, sama ada di rumah, di sekolah, dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan dalam urusan seharian dengan orang lain. Islam adalah sains dan kemajuan. Islam adalah perkara yang paling baik dalam urusan kehidupan kita mengatasi segala-galanya.
2- Pihak Komunis gagal, pemimpin-pemimpin Nasionalis gagal, pemimpin-pemimpin sekular secara keseluruhannya gagal. Sekarang ruang yang ada kosong dengan segala ideologi kecuali Islam…… Sekarang ini dalam waktu kritikal ketika kacau-bilau dan kekeliruan bertakhta, adalah peluang untuk Islam dan giliran ummah untuk memainkan peranannya. Zaman kebangkitan Islam sudah datang.

1972, Rantisi berjaya menamatkan pengajiannya dan kembali ke Gaza. Pada tahun 1973 beliau menubuhkan Pusat Islam Gaza. Semenanjung Gaza pada waktu itu telah berada dalam cengkaman Rejim Israel. Beliau kembali ke Universiti Iskandariah untuk mendalami kepakaran dalam bidang kanak-kanak (Paediatrik) pada tahun 1974 dan menamatkan pengajiannya sebagai pakar paediatrik dua tahun selepasnya. Pada waktu itu beliau telah menyertai Ikhwan Muslimin secara rasminya. Rantisi mula bertugas di Hospital Nasser, Khan Younis dan berkhidmat di sana sehingga tahun 1983 apabila dia dipecat sebagai Ketua Jabatan Paediatrik oleh rejim Israel yang memerintah.

Ruh as-Syahid sentiasa berlegar di dalam kehidupan kami; di dalam dan di luar rumah- Rasya al-Adluni

Berikut adalah terjemahan petikan temubual Ikhwan Online dengan isteri as-Syahid Dr. Abd Aziz ar-Rantisi, Rasya al-Adluni yang dilakukan sempena mengingati tiga tahun pemergian as-Syahid. Saya paparkan di sini untuk penghayatan kita yang saya rasakan cukup menyentuh hati.

Rasya:

Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Quran:
"Di antara orang-orang yang beriman itu terdapat pemuda-pemuda yang membenarkan janji mereka kepada Allah. Di antara mereka ada yang telah menyempurnakannya dan ada yang masih menunggu. Mereka tidak sekali-kali mengubah janji mereka." (Al-Ahzab: 23)

Di sana terdapat ramai syuhada' yang telah pun pergi menemui Allah lalu mendapat ganjaran yang lebih baik dan lebih kekal bagi mereka. Yang lain, saudara-saudara mereka masih lagi setia terhadap janji mereka dan tidak sekali-kali mengubahnya. Allah mentakdirkan mereka menang di dalam pilihanraya di peringkat parlimen. Allah mentakdirkan mereka berjaya membentuk kerajaan dan berada di kedudukan yang mulia ini. Walau pun menghadapi pelbagai konspirasi, kerajaan HAMAS tetap berdiri teguh dan akan terus berdiri teguh. Di masa yang sama mereka masih lagi kekal berpegang kepada manhaj yang telah mereka pilih bersama-sama saudara-saudara mereka dan mereka berjanji akan terus berpegang dengannya hingga mereka bertemu Allah.

Inilah pandangan saya terhadap suasana sekarang. Saya berdoa kepada Allah agar Dia membantu semua saudara kita di dalam gerakan HAMAS yang masih tidak merubah janji mereka. Agar Allah membantu mereka di dalam perjalanan mereka di atas jalan ini sehinggalah Palestin keseluruhannya dibebaskan dan risalah saudara-saudara mereka yang telah pergi dapat disempurnakan.

Ikhwan Online:
Bagaimanakah Puan melihat HAMAS sekarang dan sebelum mereka menjadi kerajaan?

Rasya:

Semua orang perlu mengetahui bahawa HAMAS adalah pertubuhan yang berdiri di atas prinsip syura di antara ahli-ahlinya. Apa yang dilakukan oleh saudara-saudara kita sekarang hanyalah kesinambungan apa yang dilakukan oleh pahlawan-pahlawan kita yang telah pergi. Manhaj mereka sama dan jalan mereka juga sama. Oleh kerana itu, ketika saudara-saudara kita memasuki medan politik pada hari ini, itu bukanlah satu pengalaman baru buat mereka. Syeikh kita yang mulia, Ahmad Yasin pernah melakukan perjanjian genjatan senjata yang panjang dengan pihak Zionis. Beliau telah merangka plan untuk melakukan islah dan perubahan sebelum beliau dan Dr Abd Aziz menemui syahid. Dengan itu saudara-saudara kita tidak lain hanyalah meneruskan jalan saudara-saudara mereka yang telah pergi. Saudara-saudara kita di dalam HAMAS berjuang berdasarkan maslahat rakyat Palestin. Mereka berlegar di mana maslahat tersebut berada. Permulaannya adalah pada jihad. Ketika mereka berlegar di sekitar operasi jihad, mereka tidak menjauhkan diri mereka dari aktiviti politik. Sebaliknya kita mempunyai pimpinan politik sejak bertahun sebelum ini di dalam dan di luar Palestin.

Untuk menyempurnakan peranan amal politik, mereka mencalonkan diri di dalam pilihanraya peringkat parlimen dan berjaya membentuk kerajaan. Tetapi mereka tidak meninggalkan perjuangan asal. Dengan itu saya menegaskan bahawa mereka berada di atas jalan yang sama yang ditinggalkan oleh saudara-saudara mereka yang telah pergi. Mereka tidak mengubahnya dan tidak juga menukarnya. Mereka akan terus begitu sehinggalah mereka bertemu Allah sebagai syuhada' dengan izin Allah.

Ikhwan Online:
Adakah rumah Dr. Ar-Rantisi kehilangan tetamu dan pencintanya sesudah beliau menemui syahid atau adakah rumahnya masih lagi sibuk seperti ketika beliau masih lagi hidup?

Rasya:

Dengan limpah kurnia Allah, saya dan anak-anak berjanji untuk berjalan di atas jalan yang sama. Kami berdoa agar kami menjadi sebaik-baik pengganti kepada sebaik-baik manusia yang telah pergi. Risalah ini menjadi tanggungjawab kami untuk menyempurnakannya. Rumah ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menziarahinya. Dengan limpah kurnia Allah juga kami masih lagi berhubung dengan sesiapa sahaja yang menziarahi dan berhubung dengan Dr Abd Aziz ar-Rantisi. Apa yang kemungkinan kurang adalah wartawan-wartawan yang sebelum ini datang dalam jumlah di luar jangkaan kami. Ini kerana Dr. Abd Aziz mempunyai personaliti yang menarik perhatian media.

Ikhwan Online:
Bagaimana layanan anggota HAMAS kepada anak-anak pimpinan besar dan pengasasnya selepas mereka menemui syahid?

Rasya:

HAMAS dengan limpah kurnia Allah adalah pergerakan yang kuat ikatannya. Apa yang wajib ke atas mereka ketika pimpinan mereka masih hidup tidak berubah sesudah pimpinan itu meninggal dunia. Bukan sahaja kepada anak-anak pimpinan tetapi juga kepada semua ana-anak pengikut HAMAS yang telah meninggal dunia. Mereka melayannya dengan cara yang sama. Mereka memelihara anak-anak itu. Bagaimana tidak, sedangkan mereka telah berjanji akan menjadi pengganti pejuang-pejuang itu bagi keluarga mereka. Dengan limpahan Allah, HAMAS yang berjanji untuk melaksanakan Islam secara syumul tidak pernah meninggalkan walau pun satu kewajipan. Di antara kewajipan tersebut adalah memelihara anak-anak syuhada' samada mereka anak-anak pimpinan atau tidak. Begitu juga dengan anak-anak tahanan.

Ikhwan Online:
Siapakah tokoh-tokoh yang masih berhubung dengan keluarga Puan sehingga ke hari ini?

Rasya:

Semua tokoh HAMAS masih berhubung dengan kami tanpa kecuali seorang pun. Di antara tokoh yang paling menonjol yang masih berhubungan dengan kami adalah Ismail Haniyeh, Perdana Menteri, Dr. Ahmad Bahr, Dr. Ismail Ridhwan dan tokoh-tokoh lain; menteri-menteri dan barisan pimpinan yang biasa kita lihat di kaca televisyen. Tidak ada hari keraian yang mereka tidak bersegera menemui kami. Kesibukan mereka tidak menghalang mereka menunaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak syuhada' dan tahanan.

Ikhwan Online:
As-Syahid adalah seorang peribadi yang menonjol. Adakah Puan atau sesiapa sahaja terfikir untuk menulis tentang riwayat hidupnya? Adakah terdapat mana-mana badan yang berminat untuk menulis? Atau adakah ada mana-mana pelajar yang diketahui ingin menulis tesis di peringkat Sarjana atau PhD berkenaan as-Syahid?

Rasya:

HAMAS sedang mengumpulkan bahan tentang ini. Mungkin saya tidak begitu mengambil peduli hal seperti ini dan menyerahkannya kepada HAMAS. HAMAS lebih layak untuk menjaga anak-anaknya dan HAMAS lebih lama bergaul dengan as-Syahid daripada kami. Dengan itu saya atau anak-anak dan ahli keluarga kami tidak mengambil peduli hal ini. Saya berdoa kepada Allah yang maha berkuasa agar kisah riwayat hidup ini terbit tidak lama lagi.

Ikhwan Online:
Walau pun terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa kerajaan Zionis yang bertanggungjawab membunuh suami Puan,kenapa Puan sehingga hari ini masih tidak mengemukakan dakwaan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa agar mereka dihadapkan ke mahkamah sebagai penjenayah perang?

Rasya:

Adakah kamu menjangkakan bahawa kami akan menuntut sedemikian? Sedangkan kita tahu dengan penuh kepastian bahawa yang memberi bantuan dan sokongan kepada penjenayah perang tersebut adalah mereka walau pun mereka berselindung di sebalik Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan slogan hak asasi manusia. Ianya jelas seumpama cahaya matahari dan inilah hakikat sebenar. Adakah kita mahu memperbodohkan diri kita sendiri?

Ikhwan Online:
Adakah budaya cintakan mati syahid sebagai mana yang menjadi keistimewaan rakyat Palestin itu yang menghalang Puan melakukan demikian?

Rasya:

Pada kadar yang begitu banyak, semua anak-anak bangsa ini menunaikan fardhu jihad. Kita tahu bahawa harga untuk kebebasan Palestin adalah darah rakyat Palestin. Apabila kita kiaskan itu dan segala perkara yang wujud di atas bumi nyata, kita akan tahu secara pasti bahawa merekalah yang memberikan senjata kepada Zionis untuk membunuh pahlawan-pahlawan itu. Pembunuhan pejuang-pejuang itu dengan menggunakan senjata siapa? Ia adalah senjata Amerika dan Eropah. Dengan itu saya mengulangi kata-kata saya: "Hakikat adalah jelas." Jika sekiranya mereka benar, kami cuma meminta supaya pertubuhan-pertubuhan itu mengangkat perlindungannya kepada Zionis dan tidak memberikan bantuan kepada mereka.

Ikhwan Online:
Pada peringkat individu dan kehidupan dalam masyarakat, apakah Puan rasai kehilangan sesuatu setelah pemergian as-Syahid?

Rasya:

Bercakap tentang kehilangan Dr. Abd Aziz ar-Rantisi, saya katakan di sini bahawa saya tidak kehilangannya cuma selepas beliau menemui syahid. Kami pernah kehilangannya ketika dia di dalam tahanan. Kami pernah kehilangannya ketika beliau dalam buruan. Kemudian kami kehilangannya selepas beliau menemui syahid. Tetapi, walau pun kami kehilangan jasad Dr. Abd Aziz ar-Rantisi, ruhnya sentiasa berlegar di sekitar rumah kami. Kami tidak merasai bahawa ruhnya meninggalkan kami. Dengan itu kami tidak mencari penggantinya. Bahkan sebagaimana yang saya katakan kepada kamu bahawa ruh as-Syahid sentiasa berlegar di dalam kehidupan kami; di dalam dan di luar rumah.

Ikhwan Online:
Lari sedikit dari isu politik, bagaimana kehidupan as-Syahid sebagai suami? Adakah kedudukannya sebagai pimpinan HAMAS memberi kesan kepada peranannya terhadap anak-anak Puan?

Rasya:

Sesungguhnya akhlak beliau menyamai akhlak Rasulullah s.a.w. yang pernah bersabda: "Akulah yang terbaik terhadap keluarganya." Saya menjadi saksi bahawa Abu Muhammad (ar-Rantisi) adalah sebaik-baik suami, sebaik-baik ayah, sebaik-baik datuk dan sebaik-baik pemimpin. Kerana Allah beliau tidak takut celaan orang-orang yang mencela. Tidak ada tapak yang dipijaknya kecuali akan menyakiti hati musuh. Hasil perkongsian hidup bersama-samanya saya dikurniakan empat orang anak perempuan; Inas, Samar , Aasia dan Asma'. Juga dua orang anak lelaki; Muhammad dan Ahmad. Peranan saya ketika hidupnya adalah peranan seorang wanita muslim yang memahami risalahnya dengan baik; risalah Islam dan risalah dari Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Risalah inilah yang menjadikan saya berdiri teguh di belakang Dr. Abd Aziz.


Ikhwan Online:
Adakah Puan masih ingat bagaimanakah bermulanya perkenalan antara Puan dan Dr. ar-Rantisi? Adakah Dr. Ar-Rantisi aktif di dalam amal politik pada waktu itu?

Rasya:

Hubungan saya dengan Dr. Abd Aziz ar-Rantisi sama seperti mana-mana keluarga Palestin muslim yang lain. Hubungan biasa. Beliau menemui keluarga saya untuk meminang saya dan kami menerima pinangan tersebut. Saya telah dapat merasai wujudnya peranan yang akan dimainkan oleh seorang wanita muslim secara umum dan peranan isteri seorang pegawai perubatan dan ahli politik secara khusus. Tugas saya bukan sekadar untuk berpakaian cantik dan berhias. Tetapi saya telah pun menyediakan diri saya untuk memainkan peranan yang akan dituntut dari saya. Abu Muhammad adalah seorang pegawai perubatan. Beliau sibuk berulang alik dari hospital ke klinik dan wad kecemasan. Saya tidak pernah mencemuhnya jika dia tidak berada di rumah sebaliknya saya menganggap itu semua sebagai jihad. Saya mesti bersabar dan menyediakan kerehatan dan kebahagian ketika beliau masuk ke rumah dan bukannya mencemuh atau membebel. Pada waktu itu, Dr. Abd Aziz belum bergiat aktif di dalam amal politik. Beberapa tahun selepas itu beliau bergabung dengan HAMAS dan seluruh waktunya selepas itu adalah untuk amal politik. Saya mengambil tanggungjawab mentarbiah anak-anak. Peranan yang saya mainkan ini banyak meringankan beban Dr. Abd Aziz ketika beliau di dalam tahanan, dibuang daerah, di dalam buruan dan selepas itu menemui syahid.

Ikhwan Online:
As-Syahid ar-Rantisi pernah dibuang daerah dan menjadi buruan sebelum menemui syahid. Moga-moga Allah merahmatinya. Itu adalah kehidupan seorang mujahid yang dipenuhi dengan ujian. Bagaimana dengan keadaan ketika beliau di dalam tahanan?

Rasya:

Ketika beliau di dalam tahanan, kami sentiasa berhubung dengan beliau. Samada dengan menziarahinya atau melalui surat-surat yang dikirim melalui persatuan Palang Merah atau melalui pemuda-pemuda yang dibebaskan dari tahanan. Ini sama seperti tahanan-tahanan yang lain. Beliau mengingatkan saya prinsip “Berilah peringatan sesungguhnya peringatan itu bermenfaat bagi orang-orang beriman.” (Az-Zariyyat: 55). Sesungguhnya itu memainkan peranan yang besar kepada saya untuk terus teguh mendidik anak-anak. Saya tidak pernah selama-lamanya berasa terputus dari dunia Dr. Abd Aziz.

Ikhwan Online:
Apa perasaan Puan selepas satu cubaan membunuh ar-Rantisi gagal sebelum ini?

Rasya:

Kamu bertanya kepada saya tentang perasaan saya. Percayalah, pada waktu itu saya menyiapkan perasaan saya untuk menghadapi apa yang akan berlaku selepas itu. Saya tidak berhenti setakat melihat peristiwa itu sahaja. Berita itu sampai kepada saya di tempat kerja. Pengurus menghubungi saya selepas mengetahui kisah tersebut dan bertanya: “Apa yang Puan mahu kami lakukan untuk Puan?” Saya menjawab: “Saya mahu pulang ke rumah dan menyambut orang ramai yang akan datang mengucapkan selamat.” Dengan keyakinan diri yang tinggi, itulah yang saya lakukan.

Ikhwan Online:
Bagaimana dengan detik pertemuan semula dengan Dr. Abd Aziz selepas cubaan membunuh tersebut?


Rasya:

Ia adalah pertemuan yang biasa. Ini kerana saya yakin bahawa apa yang akan menimpa saya tidak akan meleset dan apa yang ditakdirkan tidak menimpa saya, ia tidak akan berlaku. Keimanan yang sedemikian menjadikan kita tidak bergembira berlebihan. Kita mengetahui bahawa itu adalah ketentuan Allah dan wajib ke atas kita untuk mensyukuriNya. Saya tahu bahawa ketika Allah menyelamatkan suami saya, itu hanyalah untuk satu tempoh waktu yang terlalu pendek dan untuk menyiapkannya memikul peranan yang akan dipikulnya. Dia mesti menyempurnakan risalah tersebut sebelum ajal menemuinya. Percayalah perasaan ini menjadikan diri saya kuat. Ini tidak bermakna bahawa kewujudan dan kehilangan Dr. Abd Aziz tidak memberi kesan kepada diri saya. Sebaliknya ini adalah keimanan kepada takdir Allah.


Ikhwan Online:
Ar-Rantisi menemui syahid selepas cubaan membunuhnya kali ketiga. Bagaimana perasaan Puan ketika hari nahas tersebut?

Rasya:

Berkaitan dengan peristiwa pembunuhan tersebut; Allah memilih Dr. Abd Aziz untuk menjadi syahid. Kamu bertanya kepada saya tentang perasaan saya. Saya katakan di sini bahawa saya cukup terkesan. Saya tidak mengatakan bahawa jiwa saya keras. Saya cukup terkesan ketika saya mengetahui bahawa suami saya berada di ICU dan ketika saya tahu bahawa peluru itu ditujukan kepada Dr. Abd Aziz. Tetapi saya telah menyiapkan diri selepas saya tahu bahawa beliau adalah sasaran serangan tersebut dan beliau sekarang ini berada di ICU. Selepas itu saya tidak mengambil sikap menunggu sahaja berita kematiannya. Sebaliknya saya mengambil wudhu’ dan memakai pakaian yang sesuai untuk menyambut orang ramai yang akan datang menenangkan saya. Saya menunaikan sembahyang Isyak dan berdoa kepada Allah agar meneguhkan saya dan anak-anak di atas syahidnya Abu Muhammad.

Ikhwan Online:
As-Syahid ar-Rantisi tidak pernah hilang dari ingatan. Apakah kenangan bersama as-Syahid yang paling Puan ingati?


Rasya:

Kehidupan Dr. Abd Aziz keseluruhannya adalah kenangan. Apakah ada kesakitan yang akan dirasai lebih dari perasaan kehilangan suami kamu ketika dia di dalam tahanan; samada ketika penjajahan atau di zaman pemerintahan Pihak Berkuasa Palestin? Saya masih ingat di dalam salah satu siri penahanan yang berlaku kepada Dr. Abd Aziz. Ketika itu dia dalam perjalanan balik ke rumah. Kebiasaannya dia akan menalipon saya dalam perjalanan balik ke rumah dan memberitahu bahawa dia sekarang berada di tempat sekian sekian. Ketika dia sampai pintu rumah, saya tidak menyedari bahawa ketika itu pihak berkuasa sedang menunggunya. Waktu ketika itu adalah pukul 11 malam. Mereka menahannya. Mereka tidak memberinya peluang langsung untuk masuk ke dalam rumah untuk memberitahu saya bahawa dia akan dibawa ke tahanan. Ini bukanlah satu pengalaman yang mudah bagi saya.

Ikhwan Online:
As-Syahid dikenali sebagai seorang yang sungguh periang. Bagaimana dengan kenangan manis bersama Dr. Abd Aziz?

Rasya:

Dr. Abd Aziz adalah seorang yang periang dan ceria. Nampak keceriaannya kepada sesiapa sahaja yang berinteraksi dengannya. Maka sudah tentulah ia juga dirasai oleh ahli keluarganya. Pada satu hari saya menghukum anak saya perempuan setelah saya bersungguh-sungguh memintanya untuk melakukan sesuatu. Saya memukulnya dengan tepung yang diuli. Pukulan itu tidak kuat tetapi ia meninggalkan kesan psikologi pada anak perempuan saya. Ketika Abu Muhammad pulang, saya menceritakan peristiwa itu. Saya memintanya untuk merawat perasaan anak kami. Kami duduk bersama sekeluarga. Dr. Abd Aziz mula menjernihkan suasana. Beliau mengarang satu syair secara spontan:

Jangan hairan wahai saudaraku,
Dengarlah kisahku ini,
Akulah, akulah,
Orang yang kulitnya disaluti tepung.


Bsmbg...

Friday, January 11, 2008

Lawak gembala kambing




Kejadian berlaku di sebuah negara yang tidak dapat
dipastikan namanya. Masyarakat dalam negara itu hidup dalam
keadaan yang aman dan damai.Rata-rata penduduknya adalah yang menganut agama Islam.

Suatu hari datang seorang cendekiawan kristian, yang
ingin menguji keagungan dan kebenaran Tuhan yang disembah. Cendekiawan itu
berjumpa dengan raja negara tersebut dan meminta kebenaran untuk berdebat
dengan penduduk-penduduk di negara itu.

Pertaruhan yang telah ditetapkan oleh cendekiawan itu
adalah, jika dia dikalahkan, dia beserta seluruh ahli keluarganya
akan memeluk Islam.Sebaliknya jika dia menang, raja hendaklah
memberi dia kekayaan dan kebenaran menyebarkan agamanya di situ. Dan syarat
terpenting perbahasan ialah menggunakan bahasa isyarat. Kemudian
raja pun bertitah mengumumkan pertandingan tersebut kepada rakyat dan barangsiapa yang kalah, dia akan dikenakan hukuman yang berat. Setelah hampir waktunya, muncullah seorang pengembala kambing Islam yang ingin
membela agamanya. Dengan berat hati,raja membenarkan
kerana tiada siapa lagi yang berani menyahut cabaran itu.
Pada hari pertandingan, rakyat berkumpul di padang yang luas dan
gembala kambing didudukkan bertentangan dengan cendekiawan kristian.
Bermulalah soalan, cendekiawan menunjukkan satu jari kepada hadirin.

Gembala kambing pula menunjukkan dua jarinya pada hadirin. Dan
jawapannya betul.Cendekiawan pula menunjukkan dua jari pula dan gembala
kambing menunjukkan lima jari, jawapannya juga betul.Kemudian,
cendekiawan menunjukkan lima jari, gembala kambing menunjukkan enam jari.
Betul juga! Raja mula berfikir, hebat juga gembala kambing ini.

Cendekiawan yang tidak berpuas hati, membuat bulatan
pada hadirin dengan tangannya, kemudian gembala kambing
menunjukkan penumbuk tangannya. Betul lagi... Lalu cendekiawan tersenyum
puas hati. Cendekiawan mengeluarkan pedang dan halakan ke langit.
Gembala kambing pula mengeluarkan pisau kontotnya, lalu dijunamkan ke
bumi. Betul! Lalu cendekiawan menepuk tangan.

Cendekiawan kemudiannya menunjukkan seekor ayam
ditangan dan gembala kambing menunjukkan telur ayam ditangan. Betul... Maka
tamatlah sesi perdebatan. Raja amat berpuas hati dengan kepandaian gembala
kambing. Cendekiawan itu mengadap raja, untuk menunaikan janjinya. Raja
bertanyakan soalan dan jawapan perdebatan antara cendekiawan dan
gembala kambing. Cendekiawan pun mula bercerita...

"Sungguh hamba akui kebesaran Tuhan, sehingga rakyat
tuanku dapat menjawab dengan baik sekali. Sebenarnya soalan hamba, tunjuk
satu jari bermakna adakah kalimah syahadah cuma yang pertama sahaja?
(Asyhaduallah ilahaillallah...) Jawapan yang diberikan gembala kambing,
dua jari.Jawapannya betul kerana sambungannya, (wa asyhaduan
namuhammadarrasullullah)"

"Hamba tunjukkan dua jari, bermakna adakah rukun islam
ada dua? Gembala kambing memberi jawapan, lima. Betullah...
Bila hamba tunjukkan lima jari,maksudnya adakah islam setakat itu sahaja?
Jawapan yang diberikan enam jari,
sebab rukun iman ada enam"
"Bulatan pula bermakna siapa yang jadikan bumi?
Gembala kambing menjawab penumbuk, betullah sebab Allah yang Maha Berkuasa. Bila hamba|mengeluarkan pedang dan menunjuk ke langit, gembala kambing mengeluarkan pisau kontotnya
dan menjunamkan ke bumi. Betullah... kerana Allah yang
jadikan langit dan bumi."

"Ayam tu sebenarnya soalan bonus... apakah asal usul
kejadian ayam itu Jawapannya telur... betullah...Sesungguhnya hamba amat
berbesar hati dan akan mendalami islam sepenuhnya, serta menyebarkannya"

Raja tersenyum gembira mendengar soalan dan jawapan tersebut.Kemudiannya
gembala kambing dipanggil untuk mengadap Raja, maka diberikan ganjaran
yang telah dijanjikan. Dan bertanyalah Raja akan rahsia
gembala kambing tersebut, adakah soalan itu dah bocor? Gembala kambing pun
bercerita...

"Hamba sungguh tak puas hati betul dengan orang
Kristian yang sombong itu.Dia tunjuk satu jari, maknanya dia nak kambing
hamba satu. Jadi hamba menjawab, dua pun hamba boleh bagi. Dia tunjuk
dua maknanya dia nak lagi dua pulak! Nak empat la maksudnya. Dan
hamba jawab lima pun boleh.Kemudian dia tunjuk lima, maknanya takkan lima
jea...? Oklah hamba boleh bagi enam pada dia."

"Lepas tu dia tunjuk bulatan, maknanya dia nak semua
kambing hamba.Hamba pun tunjuklah penumbuk. Pas tu dia keluarkan pedang, wah wah... dia ingat orang kaya je ada pedang. Hamba pun tunjuk pisau
kontot hamba.Sekurang-kurangnya hamba ada juga. Kemudian dia tunjuk
ayam pulak! Amboi... mentang-mentanglah dia kaya, selalu makan ayam...
Hamba pun mampu... walaupun hanya telur ayam. Tapi patik tetap
bersyukur, kerana dia dah sedar dan nak peluk islam,
sekurang-kurangnya dia takkan sombong dan bongkak lagi..."

Tergelak besar Raja mendengar penjelasan gembala kambing tersebut. Sungguh besar keagungan Tuhan...walau dengan cara apa sekalipun Islam dicabar dan
dihina, Islam akan tetap terbela.

Dipetik dari........


Wednesday, January 9, 2008

Parti Mahasiswa Negara

Setelah banyak diperkatakan bahawa perjuangan mahasiswa dewasa ini lesu, lemah, layu dan sebagainya jika hendak dibandingkan dengan sejarah perjuangan mahasiswa zaman 1960an hingga zaman 70an yang penuh dengan rencah dan rempah pendewasaan negara, sekumpulan mahasiswa semalam telah melangkah jauh mengatasi halangan AUKU yang membendung, meranduk kritikan pedih yang menghentam dengan menubuhkan Parti Mahasiswa Negara. Perkembangan ini saya perhatikan dengan penuh perhatian yang mendalam walaupun "exam just around the corner", al-maklumlah, saya juga seorang yang bergelar mahasiswa. Ketidakpastian atau ketidakpedulian saya tentang isu mahasiswa boleh mencemar dan mencalar maruah saya selaku insan yang bergelar mahasiswa. Berikut saya petik berita daripada mStar tentang perkhabaran ini:

Kumpulan mahasiswa mahu letak calon bebas
08-01-2008 03:08:57 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PUTRAJAYA: Sekumpulan mahasiswa yang menamakan kumpulan mereka Parti Mahasiswa Negara (PMN) malahirkan hasrat meletakkan calon bebas di beberapa kerusi dalam pilihan raya umum akan datang atas alasan hilang kepercayaan pada parti-parti serta pemimpin politik di negara ini.

Jurucakap kumpulan itu Meor Ispandi Meor Azizan mendakwa gerakan itu menghimpunkan beberapa ratus pelajar dari pelbagai univerisiti tempatan yang mahu melihat perubahan dalam lanskap politik negara.

"Selama lebih 50 tahun lanskap politik Malaysia tidak berubah dan masih di takuk lama. Pertandingan dalam pilihan raya seolah-olah hanya antara golongan aristokrat dari parti memerintah atau parti-parti pembangkang yang mewarisi empayar politik daripada kaum kerabat mereka.

"Arena politik negara masih menyaksikan pertembungan dua parti dominan yang masing-masing menghadapi masalah dalaman tersendiri. Barisan Nasional dan pembangkang, terutama PAS, ibarat badut yang sentiasa bertelingkah sesama sendiri sedangkan rakyat terus tertindas.

"Pembincangan dan perbahasan kalangan mereka hanya tentang perkara remeh dan omong kosong berbanding isu yang relevan dan tentang kepentingan rakyat banyak," dakwanya.

Beliau mengetuai kumpulan hampir 50 mahasiswa menyampaikan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di ibupejabat suruhanjaya itu di sini Isnin.

Kumpulan itu bagaimanapun gagal menemui Pengerusi dan ahli-ahli SPR kerana mereka kini mempunyai urusan rasmi di Sabah dan dijangka pulang lewat petang.

Menurut Meor, calon bebas dari kumpulan itu akan dipilih daripada kalangan graduan memandangkan kekangan Akta Universiti dan Universiti Kolej 1971 menghalang mahasiswa menyertai kegiatan politik.

Kumpulan itu, dakwanya, kini dalam proses untuk mendaftarkan parti mereka sebagai sebuah pertubuhan siasah dan sekarang bergiat atas nama persatuan.

Beliau juga menggesa kerajaan agar mengambil berat tentang hak-hak rakyat memandangkan kekerapan berlakunya perarakan dan demonstrasi jalanan sejak akhir-akhir ini.

Bagi parti pembangkang, katanya, mereka perlulah memainkan peranan lebih baik sebagai penstabil kepada kerajaan sedia ada.

Beliau menegaskan bahawa gerakan itu yakin bahawa telah wujud keinginan di kalangan rakyat untuk melihat satu perubahan dalam lanskap politik negara, tetapi kekangan dan dinding penghalangnya terlalu tebal menyebabkan kekalnya status quo sehingga hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kumpulan itu akan mengerahkankan penyokongnya pada pilihan raya akan datang bagi menyedarkan rakyat bahawa kecenderungan memilih Barisan dan parti-parti pembangkang sedia ada sudah tidak lagi sesuai dengan masa.


Catitan Si Gembala: Hmm, apa sebenarnya rasional di sebalik penubuhan Parti Mahasiswa Negara ini?

Monday, January 7, 2008

Demam oh Demam

Nukilan di bawah hasil tulisan saya dalam ruangan perubatan forum ISIUKM pada 22 Sept 2007....



Assalamualaikum, untuk post pertama ni saya akan bincangkan ttg demam.....ataupun fever atau medical termnya pyrexia. Apa itu demam? demam ni dalam bahasa yg simple adalah kenaikan suhu badan melebihi suhu normal iaitu 36.7 C. maksudnya kalau naik 1 darjah celcius pun anda dah dikira demam. kalau nak tahu demam ni bukan lah penyakit, tapi bolehla kita katakan sebagai simptom penyakit atau tanda-tanda penyakit. Ini bermakna jika anda demam, ada penyakit lain yg membuatkan anda demam. Demam tak boleh jadi sendiri, mesti ada sebabnya. Cuma ada kes-kes yang tertentu yang demam boleh terjadi tanpa sebab yang kita panggil FUO atau fever of unknown origin. suatu misteri yang masih tak dapat dirungkai oleh pakar-pakar perubatan, hanya Allah yang lebih mengetahui.
Untuk pengetahuan, suhu badan kita dikawal oleh hypothalamus satu bahagian di otak yg berfungsi sebagai pusat mengawal suhu badan. suhu badan akan naik apabila terdapat pyrogen( agen-agen yg boleh sebabkan demam). Pyrogen ni akan merangsang penghasilan PGE2 yang akan bertindak ke atas pusat pengawalan suhu di hypothalamus tadi menyebabkan suhu badan kita naik. ada 2 jenis pyrogen iaitu endogenous pyrogen yang terhasil dari dalam badan kita sendiri atau exogenous pyrogen yang datang dari luar badan kita. endogenous pyrogen ni terhasil daripada sistem immunasi tubuh kita sendiri. Contohnya macam interleukin 1 yang dibebaskan setelah sel-sel phagocyte memakan benda-benda asing dalam badan kita. selain itu ada juga interleukin 6, tumour necrosing factor banyak lagi yang berfungsi sebagai endogenous pyrogen ni. Ini kalau hendak cerita lagi ni, boleh buat tesis dalam bidang immunologi, hehehe. berbalik kepada topik, kita akan bincang pula tentang exogeneous pyrogen. exogenous pyrogen ni datang daripada luar tubuh kita. contohnya, kalau ada jangkitan bakteria, protein yang dibebaskan oleh bakteria ini atau toxin akan diikat oleh protein lain yang dirangsang oleh sistem immunologi tubuh untuk dimakan oleh sel-sel phagocyte tadi. Ni macam kes endogenous tadi la, di mana interleukin akan dibebaskan, dan dipendekkan cerita suhu badan naik.
Sesuatu yang Allah jadikan pasti ada hikmahnya, walaupun demam ni menjengkelkan, badan rasa tak larat, nak study tak boleh, nak buat kerja tak boleh, di sudut yang lain demam ini menunjukkan badan kita masih berfungsi dengan normal, ertinya sistem pertahanan badan kita atau sistem immunologi tubuh berfungsi dengan baik. demam ni semacam tanda amaran supaya badan kita bersedia untuk menghadapi serangan dalam tubuh badan kita seperti jangkitan virus atau bakteria. Cuba bayangkan jika kita tak demam, badan kita akan terus diserang tanpa kita sedari, sedar-sedar kita dah dapat penyakit kronik dah.Macamlah sebuah negara kena serang tapi sistem amarannya rosak, ataupun tida langsung sistem amaran, tentera akan duduk relaks lagi, rakyat-rakyat pun buat selamba seperti hari-hari kebiasaan, tahu-tahu je negara mereka telah ditakluk, dijajah...hmm, mcm tu lah. Selain itu, bila kita demam. bila suhu badan kita naik, proses sistem immunologi badan dalam melawan jangkitan akan lebih efektif. Ada juga pathogen-pathogen ataupun agen penyebab penyakit yang tak tahan bila suasana dalam badan kita panas. jadi pathogen-pathogen ni samada mereka kan lemah, mereka akan cuba melarikan diri sebab dah tak tahan dengan suhu badan kita yang panas ni. Satu lagi benda yang selalunya orng anggap demam ni rahmat sebab mereka yang demam ni boleh dapat MC, dapatlah cuti sehari-dua hari.Kan rahmat tu, dapatlah berehat seketika. hehehehe. Hai,sebab nak MC ni, orang yang tak demam pun boleh pura-pura demam...ish,ish,ish...

Soccernet's Top Story