Dilarang memberi makanan kepada haiwan di sini...


Wednesday, September 16, 2009

Sucikan Jiwamu

Ramadhan ini sering kita diberikan peringatan tentang kelebihan Ramadhan, keistimewaan puasa, peritiwa penurunan al-Quran dan malam Lailatul Qadar tidak kira la waktu tazkirah lepas solat tarawikh, khutbah mahupun artikel-artikel yang dibaca.

Jangan juga kita lupa 1 perkara yang amat sinonim dengan bulan Ramadhan ini.
Apakah dia perkara itu?

Kalau jawapan yang diberikan ialah bazar Ramadhan dan Moreh, anda memang tepat. Bulan lain mana ada, ye tak? Inilah keistimewaan Ramadhan....

Sebenarnya bukanlah bazar Ramadhan yang ingin disentuh di sini. Jujur saya mengatakan dalam 25 hari kita berpuasa, hanya sekali sahaja saya ke bazar Ramadhan. Jadi tidaklah molek kiranya untuk nukilkan tentang bazar Ramadhan ni. Kalau nak tahu sangat bazar mana yang best tontonlah Shamsul@ bazaar ramadhan setiap petang kat TV3.



Ramadhan seperti mana yang kita maklum, dikaitkan dengan kewajipan berzakat terutamanya Zakat Fitrah. Zakat berasal dari perkataan tazkiyah atau dalam bahasa 1malaysianya
penyucian jiwa. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam surah At-taubah, ayat 103:

Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan akhlak mereka dari (akhlak yang buruk).


Menurut Syeikh Mustafa Masyhur di dalam bukunya Zaad ala at-thariq atau Bekalan di Jalan Da'wah; zakat, sedekah dan infaq adalah pengabdian dan pendekatan diri kepada Allah lantaran manusia ini secara fitrahnya mencintai harta dan ingin memiliki segalanya. Rasullullah SAW sendiri bersabda mengenai sifat manusia, sabdanya:


Jikalau seorang anak Adam memiliki satu lembah emas nescaya ia inginkan satu lembah yang lain pula. Pandangan mata anak Adam tidak dipenuhi melainkan dengan tanah.

Seorang Muslim memandang harta sebagai wasilah atau pun jalan yang digunakan untk mentaaati Allah bukanlah sebagai matlamat kehidupan. Harta di tangan kita digunakan untuk membantu kita, janganlah ia sampai meresap ke dalam hati, memperdaya kita agar dihimpunkan, dijaga dan dikembangkan sehingga tiada apa yang difikirkan selain harta. Allah mengeji sifat cintakan harta di dalam Surah al-Humazah,

Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya......




Justeru Zakat difardhukan untuk melatih jiwa mengalahkan rasa cinta terhadap harta. Zakat mengajar seorang muslim bahawa kadar rezeki seseorang tidak sama. Semuanya adalah ketentuan takdir Allah kerana suatu hikmah yang Allah lebih ketahui rahsianya.

Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya dan (Allah) juga menyempitkannya..
(Al-Ra'd: Ayat 26)

Ada saudara-saudara kita yang dilahirkan mewah dengan harta; ada yang miskin ketika lahir, tetapi kaya kerana takdir Allah; ada yang binbo (miskin dalam bahasa Jepun) sehingga ke akhir hayat; ada yang sederhana saja kehidupannya, tidaklah mewah tetapi tidaklah melarat.....semuanya adalah takdir Allah.
Janganlah kita sombong seperti Encik Qarun (pemilik harta yang tertanam di bumi ini) yang mengungkapkan, "Aku kaya sebab pengetahuan dan kekayaan yang ada padaku".

Harta boleh menjadi wasilah untuk mendapatkan kebaikan dan ganjaran yang besar apabila ia dihimpun dari sumber yang halal, dibelanjakan di jalan Allah dan ditunaikan hak Allah padanya. Ia juga boleh menjadi wasilah kejahatan dan mengundang kemurkaan Allah dan azabNya di akhirat, apabila seseorang itu tidak menjejaki yang halal ketika mengumpulkannya dan tidak menunaikan hak Allah padanya.


Parameter kejayaan Mu'min bukan terletak pada hartanya, profesionnya (Dr, IR, Ustaz, Cikgu, lawyer, ahli muzik) mahupun pangkatnya (Tuanku, Sultan, Tan Sri, Tun, Dato', Datin) tetapi pada taqwanya seperti firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 13:


Sesunguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya dia antara kamu
..



Jadi kesimpulannya daripada apa yang saya nukilkan ini, tunaikanlah zakat.
Sucikanlah jiwamu....

Artikel ini dinukilan berdasarkan tulisan Syeikh Mustafa Masyhur di dalam bukunya Zaad ala at-Thariq di bawah topik dalam
Ibadat zakat terdapat bekalan, hasil terjemahan Ahmad Hassan Mohd Nazam dan Mohd Nizam Mohd Ali. Saya olah sedikit untuk dimuatkan di sini.

Artikel ini tidak ditaja oleh Lembaga Zakat Selangor. Apapun untuk kemudahan SMS taip FITRAH SELANGOR dan hantar ke 21999. Senang je kan?

Soccernet's Top Story